Kehidupan peribadi
Dilahirkan di Istana Tiga Tingkat,
Alor Setar,
Kedah yang lebih dikenali sebagai
Istana Pelamin, Tunku merupakan anak lelaki yang ketujuh dan anak yang kedua puluh kepada
Sultan Abdul Hamid Halim Shah,
Sultan Kedah yang ke-24. Bondanya
Cik Menyelara, seorang isteri Sultan Abdul Hamid yang tidak berdarah gahara, ialah anak perempuan Luang Naraborirak (Kleb), seorang pegawai daerah
Thailand. Kelahiran Tunku disambut secara biasa sahaja kerana beliau bukan bakal pengganti
Sultan Kedah. Pengganti Sultan Kedah,
Sultan Badlishah ibni Sultan Abdul Hamid, telah pun berumur 30 tahun ketika itu.
Semasa kecil, Tunku dipanggil
Awang kerana rupa parasnya yang tidak sesegak adik-beradiknya yang lain. Beliau bebas bermain di luar
istana dan pernah membentuk pasukan
bola sepak kampung. Tunku biasa mengendap burung dan melastik, serta bermain lumpur sehingga menghidapi
penyakit puru di kakinya.
Pendidikan
Tunku bermula pendidikannya pada 1909 di sebuah sekolah rendah Melayu di Jalan Baharu, Alor Setar. Biasa ber
bahasa Siam di rumah, beliau belajar
bahasa Melayu di sekolah itu. Seorang guru pula datang ke rumahnya untuk mengajar
bahasa Inggeris. Tunku kemudian berpindah ke sebuah sekolah kerajaan bahasa Inggeris yang kini dinamakan
Kolej Sultan Abdul Hamid. Di sini, beliau belajar di sekolah pada waktu siang dan membaca
Al-Quran pada waktu petang.
Pada tahun 1913 sewaktu berumur 10 tahun, Tunku dihantar ke
Bangkok untuk menetap bersama
Tunku Yusuf ibni Sultan Abdul Hamid, abang sulungnya, dan belajar di Sekolah Thebsirintrawat (
Debsirindir School). Pada tahun 1915, Tunku pulang dan meneruskan pendidikannya di
Penang Free School. Antara gurunya ialah HR Cheeseman dan
SM Zainal Abidin. Seorang yang aktif, beliau menyertai
Pengakap dan
Kor Kadet.
Pada tahun 1919 ketika berumur 16 tahun, Tunku menerima Biasiswa Negeri Kedah untuk melanjutkan pendidikannya di Kolej St Catharine di
Universiti Cambridge. Beliau merupakan penuntut pertama untuk menerima pendidikan di
United Kingdom dibawah tajaan Kerajaan Negeri Kedah. Ketika Tunku tidak dibenarkan tinggal di asrama St Catharine kerana dasar
aparteid ('kulit berwarna') masih diamalkan, beliau membantah kepada William Peel,
Penasihat British kepada Kedah. Akhirnya, pengetua sekolah itu terpaksa meminta maaf.
Dari segi berpakaian, Tunku agak kebaratan. Semasa beliau dihantar ke England, tiada sepasang pun
baju Melayu yang dibawa. Tunku dan keluarganya hanya menempah pakaian Barat di kedai Pritchards di Pulau Pinang. Ketika di England, Tunku amat berlainan dengan
Sultan Perak yang berbaju Melayu, siap dengan
tengkolok.
Mula-mulanya, Tunku mengambil jurusan undang-undang bersama rakannya,
Ivor Jenning (Sir),
H.V. Davies dan
George Brown, tetapi kemudian bertukar kepada jurusan
sastera (Sejarah). Beliau suka bersiar-siar dengan
motosikal Riley Sport dan kereta mewah, dan melakukan 28
kesalahan trafik jalan raya semasa berada di Cambridge. Tunku tidak dapat menduduki peperiksaan akhir Ijazah
Sarjana Muda Sastera kerana terlupa jadual waktu peperiksaan. Dengan bantuan dan kerjasama daripada sahabatnya,
Taib Andak, beliau memperolehi ijazahnya pada tahun 1925.
Pada tahun 1927, Tunku dihantar semula ke
England untuk belajar undang-undang di
Universiti Cambridge kerana keluarganya tidak berpuas hati dengan keputusannya yang lalu. Beliau lulus semester pertama dalam jurusan undang-undang di
Inner Temple pada tahun 1930. Selepas pemulangannya, Tunku bertugas sebagai Pegawai Latihan di Pejabat Penasihat Undang-Undang Kedah pada tahun 1931, dan dilantik sebagai Pegawai Jajahan untuk
Kuala Nerang pada tahun berikutnya. Beliau dipindahkan ke
Pulau Langkawi pada tahun 1935 oleh Clayton, Penasihat British sewaktu itu. Pada tahun 1937, Tunku bertugas sebagai Pegawai Jajahan di
Sungai Petani bersamping bertindak sebagai hakim daerah dan Pengerusi Lembaga Kebersihan Sungai Petani. Sebuah masjid di Sungai Petani telah dinamakan
Masjid Rahmaniah sempena nama Tunku.
Pada tahun 1938, Tunku pergi semula ke England buat kali yang ketiga untuk menyambung pelajaran undang-undangnya. Antara temannya ialah
Sardon Haji Jubir. Beliau kembali ke Kedah pada tahun 1939 kerana terdapatnya berita bahawa
perang akan meletus di
Eropah. Pada 1940, beliau dilantik sebagai Timbalan Pengarah Perkhidmatan Pasukan Kawalan Am Selatan Kedah.
Pada 9 Disember 1941, Tunku menyorokkan
Sultan Abdul Hamid Halim Syah, ayahandanya yang ketika itu berumur 80 tahun, sewaktu pegawai
British hendak membawanya ke
India. Bagi beliau, tidak wajarlah seseorang
sultan melarikan diri daripada tanah airnya sewaktu peperangan. Berpakaian
Tentera Utara Australia, Tunku menculik ayahandanya yang ketika itu bersama dengan
Syed Abu Bakar al Idrus, seorang Merinyu Kesihatan Kedah dan menyembunyikannya di
Sedim, dekat dengan
Kulim, di bawah jagaan Penghulu Wahab.
Tunku Badlishah,
Pemangku Raja Kedah, tidak berpuas hati dengan tindakan Tunku yang membelakangkannya sebagai bakal pengganti Sultan Kedah.
Pada 19 Disember 1941, Sultan Abdul Hamid dibawa semula ke Alor Star.
Jepun mengiktiraf baginda sebagai Sultan Kedah tetapi pentadbirannya diletakkan di bawah Gabernor dan Tentera Jepun. Sultan Abdul Hamid meninggal pada tahun 1943. Semasa Jepun memerintah, Tunku kekal sebagai Pegawai Jajahan
Kulim tetapi ditemani oleh Ohata, seorang pegawai Jepun yang pernah menjadi
tukang gunting di pekan Alor Star.
Tunku menyambung semula pendidikannya di Inner Temple pada tahun 1947. Sewaktu tempoh itu, Tunku bertemu dengan
Abdul Razak Hussein. Beliau dipilih sebagai presiden untuk
Persatuan Pelajar Melayu Britain, dan Abdul Razak, yang berumur 26 ketika itu, dipilih sebagai setiausaha. Semasa itu, Tunku menyertai "Persatuan Pelajar India Islam" yang menuntut kemerdekaan
India. Beliau juga berkempen untuk Lyold George Jurith, seorang calon
Parti Liberal. Tunku akhirnya dilayakkan menjadi
peguam pada tahun 1949.
Seorang yang bersemangat kesukanan, Tunku memulakan pertandingan bola sepak antarabangsa yang digelar "Pesta Bola Merdeka" pada tahun 1957. Pada tahun berikutnya, beliau dipilih sebagai presiden pertama untuk
Konfederasi Sepak Bola Asia (AFC), sebuah jawatan yang beliau memegang sehingga 1976.
Keluarga
Pada tahun 1933, Tunku berkahwin dengan Mariam, seorang wanita kacukan Cina-Siam yang merupakan anak perempuan tauke
lombong di Alor Star. Beliau dikurniakan dengan dua cahaya mata, iaitu Tunku Ahmad Nerang Putra dan Tunku Khadijah. Mariam meninggal dunia pada tahun 1934 kerana menghidapi penyakit
malaria di Kuala Nerang, Kedah.
Selepas kematian Mariam, Tunku berkahwin dengan Violet Coulson, bekas tuan rumahnya di England. Antara saksi perkahwinannya di
Geylang Serai,
Singapura ialah
Syed Ahmad al Sagoff. Sebenarnya, kerabat diraja Kedah dilarang berkahwin dengan wanita Inggeris kerana
peristiwa penipuan Pulau Pinang oleh
Kapten Francis Light, seorang Inggeris.
Tunku mengalami nasib yang sama seperti
Tunku Yusuf ibni Sultan Abdul Hamid. Dititahkan untuk menceraikan Violet oleh Pemangku Raja Kedah, Tunku kemudian berkahwin dengan Sharifah Rodziah Syed Alwi Barakbah, seorang saudara jauh yang juga merupakan adik
Syed Omar Barakbah, rakan sekuliahnya di
England, pada tahun 1939. Perkahwinan ini direstui kerana berketurunan
Arab yang ternama dan kaya di
Kedah (Islam disamakan dengan Arab). Oleh sebab perkahwinan ini tidak mendapat seorang anak pun, mereka mengambil tiga
anak angkat iaitu Faridah, Sulaiman dan Mariam. Tunku juga telah mengahwini seorang yang berbangsa Cina pada tahun 1963 dengan rahsia dan telah mendapat dua orang cahaya mata perempuan yang diberi nama Tunku Noor Hayati dan Tunku Mastura.
Kerjaya politik
Selepas pemulangannya ke Malaya pada tahun 1949, Tunku ditugaskan untuk bekerja di sebuah pejabat Pegawai Undang-undang di Alor Star. Beliau kemudian meminta perpindahan ke
Kuala Lumpur di mana beliau menjadi
Timbalan Pendakwa Raya dan selepas itu, dilantik sebagai
Yang Dipertua Mahkamah Sesyen.
Pada tempoh itu, semangat
nasionalisme bertambah hebat di kalangan kaum
Melayu di tengah-tengah pengisytiharan penubuhan
Malayan Union oleh Britain.
Datuk Onn Jaafar mengetuai
Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) untuk menentangi Malayan Union (sila lihat:
Sejarah Malaysia) dan Tunku menyertai partinya. Pada Ogos 1951, suatu krisis di dalam UMNO memaksakan Datuk Onn meletakkan jawatan sebagai presiden parti dan Tunku dilantik sebagai presiden yang baru. Beliau memegang jawatan itu selama 20 tahun.
Laluan ke kemerdekaan
Pada tahun 1954, Tunku mengetuai sekumpulan perwakilan ke
London untuk memperolehi kemerdekaan Malaya. Bagaimanapun, percubaan sulung itu tidak berjaya. Pada tahun yang berikut, pilihan raya persekutan yang pertama diadakan.
Parti Perikatan yang pada saat itu merupakan parti campuran UMNO dengan
MCA memenangi 51 daripada 52 kerusi yang ditandingi. Tunku dilantik sebagai Ketua Menteri Malaya yang pertama.
MIC yang mewakili kaum
India kemudian menyertai Parti Perikatan pada tahun 1955.
Pada tahun 1955, Tunku membuat lagi satu perjalanan ke London untuk berunding tentang kemerdekaan Malaya. Pada kali ini, beliau berjaya, dan
31 Ogos 1957 diputuskan sebagai tarikh kemerdekaan. Sewaktu bendera British diturun di Kuala Lumpur pada hari kemerdekaan, Tunku mengetuai orang ramai untuk menyorak "Merdeka!". Gambar-gambar Tunku dengan tangan yang diangkat naik, dan perakaman-perakaman suaranya yang penuh emosi tetapi berazam mengetuai sorakan, kini merupakan lambang kemerdekaan
Malaysia yang biasa.
Sebagai Perdana Menteri
Selepas kemerdekaan, Tunku mendominasikan politik Malaya dan memimpin Parti Perikatan ke kemenangan besar dalam pilihan raya umum pada tahun 1959 dan 1964. Pembentukan Malaysia pada tahun 1963 merupakan salah satu daripada pencapaian Tunku yang teragung.
Tunku pertama sekali mencadangkan sebuah persekutuan Malaya, Singapura,
Sabah,
Sarawak, dan
Brunei dalam ucapannya kepada "Persatuan Wartawan Asing Asia Tenggara" pada tahun 1961 di Singapura. Pada
16 September 1963, dengan persekutuan negeri-negeri tersebut kecuali Brunei, beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia yang pertama.
Bagaimanapun, faktor-faktor perkauman bertambah buruk dengan pemasukan Singapura yang menaikkan bahagian kaum
Cina sehingga hampir-hampir 40%. Kedua-dua UMNO dan MCA berasa tegang terhadap daya tarikan
Parti Tindakan Rakyat (PAP pada waktu itu, diperlihatkan sebagai sebuah
parti sosialis yang radikal)
Lee Kwan Yew kepada pengundi-pengundi di Malaya. Untuk mengatasi kebimbangan itu, Parti Perikatan mencuba membentukkan sebuah parti di Singapura untuk mencabar kedudukan Lee di sana. Sebagai gerak balas, Lee mengancam bahawa PAP akan menyertai Pilihan Raya Persekutuan 1964 di Malaya, walaupun terdapatnya perjanjian awal bahawa beliau tidak akan berbuat demikian (sila lihat
Hubungan PAP-UMNO. Ini membangkitkan kemarahan Tunku yang mendesak supaya Singapura meninggalkan Malaysia.
Pada 7 Ogos 1965, Tunku mengumumkan kepada
Parlimen Malaysia di Kuala Lumpur bahawa Parliamen haruslah mengundi untuk menyokong peninggalan Singapura daripada Persekutuan. Dalam perkataannya, Parliamen harus memilih untuk "memutuskan semua pertalian dengan sebuah Kerajaan Negeri yang tidak mempertunjukkan sebarang kesetiaan kepada Kerajaan Pusat" berbanding kaedah yang tidak diingini untuk menindas tindakan PAP. Pemisahan dan kemerdekaan Singapura menjadi rasmi pada
9 Ogos 1965.
Pada tahun 1961, Tunku menubuhkan
Pertubuhan Asia Tenggara (ASA) yang memperkumpulkan Malaya, Thailand dan
Filipina Perkumpulan ini kemudian digantikan dengan perkumpulan yang lebih besar, iaitu
Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), pada
8 Ogos 1967.
Dalam
Pilihan Raya Umum 1969, majoriti Parti Perikatan dikurangkan dengan hebat. Perhimpunan-perhimpunan tunjuk perasaan yang mengikuti pilihan raya itu mencetuskan
rusuhan kaum pada
13 Mei di Kuala Lumpur. Sebahagian pemimpin-pemimpin UMNO yang diketuai oleh Tun Abdul Razak kritis terhadap cara pengendalian krisis itu oleh Tunku, dan
MAGERAN, sebuah jawatan kuasa darurat, mengambil alih kuasa dan mengisytiharkan keadaan darurat.
Kuasa Tunku sebagai Perdana Menteri dibatasi secara besar, dan pada
22 September 1970, beliau terpaksa meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri. Tunku kemudian meletakkan jawatannya sebagai Presiden UMNO pada Jun 1971 di tengah-tengah penentangan hebat oleh 'Turki Muda' yang terdiri daripada penentang-penentang parti seperti
Dr Mahathir dan
Musa Hitam. Pasangan itu kemudian masing-masing menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.